KOTA KINABALU, SABAH – Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah ini menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang dijalankan TIGA (3) individu termasuk sepasang kekasih.
Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Zaidi Abdullah berkata, dua serbuan berasingan pada malam Isnin berjaya merampas 2.58 Kg dadah berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM 6,240.
Katanya kuantiti sedemikian berupaya memenuhi permintaan hampir 2,548 orang penagih dalam satu masa.
“Pada jam 7.30, seorang wanita berumur 20 tahun ditahan di Taman Suria, Penampang, bersama beberapa paket plastik dadah seberat 1.71 Kg yang disembunyikan dalam rumah tersebut…
“Seterusnya pada jam 11.35, seorang lelaki, 22, dan seorang wanita, 21, ditahan di KK Times Square berdasarkan hasil siasatan dan risikian daripada serbuan pertama.
“Kedua-dua suspek ditahan bersama ketulan mampat dadah seberat 872 gram yang disimpan di dalam sebuah almari,” katanya.
Katanya telefon bimbit milik ketiga-tiga suspek termasuk sebuah komputer riba dan alat-alat pembungkusan dadah dirampas bagi membantu siasatan.
“Sejumlah wang bernilai RM 1,353 turut disita oleh pihak polis,” kata Zaidi sambil menambah kesemua suspek mula terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah semasa pandemik COVID-19.

“Hasil siasatan mendapati bekalan ganja diperolehi dari Semenanjung melalui perkhidmatan kurier…
“Ketiga-tiga suspek adalah warganegara tanpa pekerjaan yang tetap. Hasil saringan ujian air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah namun kesemua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” jelasnya.
Ketiga-tiga suspek telah direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Bersalah 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.





