KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) menolak permohonan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk membenarkan tambahan kapasiti penonton bagi aksi final Piala Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
MFL turut memaklumkan kebenaran makan dan minum turut tidak diluluskan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan perkara itu sudah dimaklumkan kepada MFL oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), semalam.
“Melalui surat yang diterima oleh pihak MFL, KBS sudah membentangkan permohonan berkenaan bagi pertimbangan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Bilangan 8 Tahun 2021 pada 16 November 2021…
“Sehubungan itu, mesyuarat memutuskan yang aktiviti makan dan minum dalam kalangan penonton atau penyokong termasuk di kotak korporat (corporate box) adalah tidak dibenarkan.
“Seterusnya, kapasiti kehadiran penonton adalah kekal seperti ditetapkan di bawah standard operasi prosedur (SOP) Am Sektor Sukan dan Rekreasi di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 iaitu 50 peratus kapasiti tempat duduk atau 20,000 orang (yang mana lebih rendah).
“Ketetapan ini adalah dengan mengambil kira penilaian risiko semasa dan KBS akan memaklumkan kepada MFL sekiranya terdapat perubahan daripada semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik BH.
Susulan itu, Stuart berkata, pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merancang untuk menyediakan satu tapak khas bagi penjaja kenderaan saji (Food Truck) di pekarangan stadium untuk memudahkan penonton makan dan minum sebelum masuk ke dalam stadium bagi menyaksikan perlawanan akhir itu nanti.
“MFL terpaksa akur dengan keputusan MKN ini dan kami mendengar keluhan penonton yang berharap agar mereka dibenarkan makan dan minum di dalam stadium…
“Namun dengan larangan ini, pihak MFL akan berusaha untuk menyediakan kemudahan makan dan minum di luar stadium sebelum penonton masuk ke dalam stadium,” katanya lagi.





