CYBERJAYA – Pengguna telefon bimbit atau peranti 3G diingatkan sekali lagi agar segera beralih ke rangkaian 4G sebelum rangkaian 3G di Malaysia ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember 2021.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan semalam berkata ia supaya perkhidmatan telekomunikasi pengguna tidak ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.
“Pengguna yang masih memiliki kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G disaran segera menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat untuk menaik taraf ke 4G, bagi mengelakkan sebarang kesulitan…
“Penyelesaian penamatan rangkaian 3G ini seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Ia bertujuan untuk mengguna semula spektrum yang sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian mudah alih meningkatkan ketersambungan digital dan memberikan pengalaman 4G yang lebih baik dan menarik kepada pelanggan dan isi rumah,” jelasnya.
Katanya rangkaian 4G membolehkan peningkatan kualiti yang akan dapat dilihat merangkumi kelajuan data yang lebih tinggi, latensi rendah dan kestabilan rangkaian.
“Hasilnya, pelanggan akan dapat melayari Internet, menstrim video dan menikmati lain-lain perkhidmatan dalam talian dengan lebih baik dan lancar,” tambahnya.
Setakat 30 September 2021, sebanyak 94 peratus (94%) kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G, dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat.
“Pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan U Mobile Sdn Bhd telah berjaya melakukan migrasi 1.2 juta pelanggan kepada 4G…
“MCMC menggesa orang ramai dan syarikat-syarikat memanfaatkan inisiatif-inisiatif kerajaan bagi membantu peralihan ke rangkaian 4G dengan sebaik mungkin bagi menikmati kesalinghubungan jalur lebar yang lebih baik dan lancar,” katanya lagi.
Antara inisiatif tersebut adalah Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan Program Jaringan Prihatin yang membolehkan warganegara Malaysia memiliki atau menaik taraf peranti mudah alih terpilih yang bertaraf 4G VoLTE ataupun membeli pakej perkhidmatan data internet yang telah disubsidi oleh kerajaan dan penyedia perkhidmatan.
Suruhanjaya berkenaan menggalak pengguna untuk merujuk kepada penyedia perkhidmatan masing-masing bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.





