HAMPIR RM25 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK PEMBANGUNAN KOTA BELUD TAHUN INI – KM...

HAMPIR RM25 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK PEMBANGUNAN KOTA BELUD TAHUN INI – KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA BELUD, SABAH – Kerajaan Negeri dan Persekutuan memperuntukkan hampir RM25 juta bagi melaksanakan projek pembangunan dan kemudahan asas untuk manfaat rakyat di daerah ini bagi tahun ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata di bawah Bajet 2021 Negeri, sebanyak RM17.07 juta diperuntukkan kepada pejabat daerah dalaman rancangan untuk memastikan objektif dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) tercapai.

Dalam pada itu Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM7.9 juta kepada pejabat daerah.

“Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk manfaat rakyat di daerah ini,” katanya pada perasmian Tamu Besar di Dewan Tun Said di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said Keruak.

Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut memberi peruntukan khas sebanyak RM6.5 juta tahun ini untuk kerja-kerja menaik taraf kawasan bulatan Lebak Moyoh yang sering dilanda banjir.

Bulatan Lebak Moyoh terletak di tengah-tengah laluan utama yang menghubungkan ibu kota ke bahagian utara Sabah.

“Kerja-kerja menaik taraf sudah 64 peratus (64%) siap…

“Saya pasti apabila siap, pengguna jalan raya yang melalui laluan itu akan lebih selesa memandangkan mereka tidak perlu lagi berdepan banjir apabila hujan,” katanya.

Ketua Menteri berkata menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR), kerajaan telah meluluskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 32.2 km merentasi daerah itu dari Pituru ke Rampayan.

Pituru disambungkan ke Serusup di Tuaran melalui pakej Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 20.7 km yang dijangka dilaksanakan Disember ini.

Kerajaan juga telah membaiki dan membina 23 daripada 47 sekolah uzur di Kota Belud.

Hajiji berkata kerajaan turut prihatin dengan nasib yang menimpa usahawan pelancongan tempatan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Kota Belud telah menjadi destinasi pelancongan kegemaran dan antara tarikan utamanya ialah pelancongan desa berasaskan komuniti di Kadamaian yang dimulakan oleh Lembaga Pelancongan Sabah pada 2014.

“Kerajaan akan sentiasa menyokong dan memberi bantuan agar sektor pelancongan akan terus maju ke hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Menteri mengucapkan tahniah kepada Pejabat Daerah Kota Belud kerana melancarkan Pelan Strategik Daerah Kota Belud 2020-2030.

“Pelan itu akan menjadi panduan kepada semua perancangan pembangunan dan infrastruktur bagi memartabatkan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat daerah ini selaras dengan aspirasi SMJ,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada pihak yang terpinggir daripada rancangan pembangunan tersebut dan ianya akan berjaya dilaksanakan.