Pemuda UMNO Tuntut Kerusi Parlimen Tuaran Diserahkan Kepada UMNO Dalam PRU-15

Pemuda UMNO Tuntut Kerusi Parlimen Tuaran Diserahkan Kepada UMNO Dalam PRU-15

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Pemuda UMNO Tuaran menuntut agar kerusi Parlimen kawasan tersebut diserahkan kepada UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketuanya, Alfian Sambas berkata, sudah tiba masanya untuk UMNO Tuaran diberi kepercayaan untuk memimpin kawasan parlinen berkenaan.

“Sudah sekian lama sejak kerusi itu diserahkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang akhirnya memusnahkan harapan rakyat dan penyokong apabila calon melompat ke parti lain,” katanya.

Sebelum ini, kerusi tersebut merupakan milik UPKO sebagai komponen BN yang diwakili oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Bagaimanapun beliau telah merentas parti dengan menyokong Warisan dan kini, Pakatan Harapan.

“Kita sudah terlalu lama berkorban dan berkompromi untuk parti komponen lain yang akhirnya kepercayaan rakyat dimusnahkan oleh pemimpin yang lebih mementingkan kepentingan peribadi daripada kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap di mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO bahagian Tuaran di dewan Masyarakat Tuaran pada Sabtu lepas.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Umno bahagian Tuaran, Jasni Daya, dan turut dihadiri oleh kepimpinan Pemuda Umno bahagian Tuaran serta 253 perwakilan Pemuda dari 108 cawangan Pemuda UMNO Tuaran.

Menurut Alfian, tuntutan tersebut merupakan salah satu usul yang diterima sebulat suara oleh pergerakan Pemuda Umno bahagian Tuaran semasa mesyuarat perwakilan tersebut.

Selain itu, dua (2) lagi usul turut dipersetujui untuk dibawa ke mesyuarat perwakilan bahagian iaitu untuk meminta agar pucuk pimpinan tertinggi UMNO mecalonkan lebih ramai muka baru dari kalangan anak muda sebagai calon PRU ke-15 nanti.

“Pemuda UMNO memiliki ramai calon muda yang berwibawa dan berpendidikan untuk mengalas tanggungjawab ini sekiranya diberikan peluang…

“Malah, kehadiran yang begitu ramai perwakilan Pemuda pada mesyuarat kali ini mengambarkan UMNO masih menjadi pilihan orang muda,” katanya.

Jasni bersama Alfian (tengah) bersama perwakilan yang hadir ke mesyuarat tersebut…

Sementara itu, beliau juga meluluskan usul menyokong keputusan Ahli majlis tertinggi Umno untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR dan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Menurut Alfian Sambas, kerjasama sebelum ini hanya untuk bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menubuhkan kerajaan dan bukannya bersama BERSATU, PKR dan DAP untuk bekerjasama dalam politik.