KUALA LUMPUR – Sepuluh (10) pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini ditamatkan pengajian, demikian menurut Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf, mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa pada Selasa.
“Pihak Mara mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan Mara, IPMa mahupun tajaan Mara,” katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.
Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial menunjukkan seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar telah dibuli oleh sekumpulan pelajar di sekolah yang sama.
Ekoran daripada perkara itu, media sebelum ini melaporkan bahawa pihak polis telah menahan enam pelajar sekolah berasrama di Kuala Kangsar yang menjadi suspek utama insiden buli terhadap pelajar lain, sebelum video mengenainya tular secara meluas di media sosial.





