Ubah Gelaran Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) Kepada Yang DiPertua Negara –...

Ubah Gelaran Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) Kepada Yang DiPertua Negara – Jeffrey

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Setelah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan “dipulihkan” untuk Sabah dan Sarawak, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata langkah seterusnya adalah untuk mengubah gelaran Yang DiPertua Negeri Sabah (TYT) kepada Yang DiPertua Negara.

Katanya pindaan yang dipersetujui Dewan Negara pada Selasa hanya merupakan langkah pertama ke arah memulihkan status sebenar Sabah dan Sarawak dalam persekutuan Malaysia.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata pengubahan gelaran tersebut penting bagi mengangkat martabat Sabah sebagai sebuah negara.

“Kita perlu menanamkan dalam minda rakyat status sebenar Sabah, dan dalam hal ini juga, Sarawak, dalam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jeffrey berkata ini juga akan memulihkan perkataan asal Proklamasi Malaysia di mana TYT Sabah disanjungi sebagai Yang DiPertua Negara Sabah.

Selain itu, Kitingan berkata kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah akan terus memperjuangkan pemulihan penuh autonomi Sabah khususnya dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Beliau menegaskan bahawa selain Perkara 1(2), kelemahan lain dalam Perlembagaan Persekutuan ialah Perkara 160(2) yang mentakrifkan Persekutuan sebagai sebuah persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.

“Sabah dan Sarawak bukan pihak dalam perjanjian ini. Tafsiran ini mesti diperbetulkan kerana jika tidak, setiap kali istilah ‘Persekutuan’ digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan, ia hanya merujuk kepada negeri-negeri Tanah Melayu…

“Pindaan mesti dibuat untuk mentafsirkan Persekutuan sebagai Persekutuan yang dibentuk menurut Perjanjian Malaysia 1963 jika tidak, sandiwara Malaya yang berpura-pura menjadi Malaysia ini akan berterusan,” tegasnya.