Guarana Masih Diharamkan Di Sabah – Dr Jeffrey

Guarana Masih Diharamkan Di Sabah – Dr Jeffrey

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah tidak bercadang untuk membangunkan industri guarana di Sabah dan orang ramai dinasihatkan menjauhi sebarang skim yang didakwa mempromosikan tumbuhan itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata guarana, yang berasal dari Amerika Selatan, dikelaskan sebagai tumbuhan berbahaya kerana terdedah kepada Hawar Daun Amerika Selatan (SALB).

“Sebarang produk pertanian baharu yang akan diperkenalkan di Sabah perlu melalui proses penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan terlebih dahulu…

“Guarana itu belum menjalani sebarang proses,” katanya dalam satu kenyataan.

Mesej skim penanaman pokok guarana yang sedang tular di aplikasi WhatsApp ketika ini…

SALB ialah penyakit tumbuhan yang paling merosakkan dan kini hanya terhad kepada Amerika Selatan dan Kepulauan Carribean.

Penyakit ini telah merosakkan sebahagian besar industri getah di Amerika Selatan dan Amerika Tengah, dan Sabah, yang mempunyai 195,000 hektar ladang getah, tidak mampu menanggung risiko penyakit itu untuk melumpuhkan industri pentingnya.

Dr. Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata sebagai komponen Pertubuhan Perlindungan Tumbuhan Kebangsaan Malaysia (NPPO), Sabah mempunyai tanggungjawab untuk menjaga sensitiviti dan kepentingan negara jiran Asia Tenggara di mana getah menjadi tanaman utama.

Sebarang pengimportan tumbuhan berisiko tinggi seperti guarana mesti melalui prosedur penapisan yang ketat untuk melindungi industri sedia ada.

Jeffrey berkata demikian sebagai respons kepada mesej WhatsApp yang mengumumkan pengedaran benih guarana fasa kedua kepada kira-kira 20 orang di Keningau. Setiap pokok guarana dijual pada harga RM50 dan perlu dibayar dalam tempoh tiga (3) hari sebelum tarikh pengagihan yang dijangka pada 31 Januari 2022.

“Jabatan Pertanian tidak pernah memberi kebenaran untuk guarana diimport oleh sesiapa. Kerajaan Brazil, melalui Kementerian Pertanian Ternakan dan Bekalan Makanan, juga telah memaklumkan kepada negara lain bahawa ia tidak membenarkan pengeksportan benih atau buah guarana…

“Oleh itu, saya menggesa orang ramai supaya tidak melayan mana-mana syarikat yang menawarkan untuk mengusahakan tanaman guarana di Sabah di atas tanah mereka,” katanya.