KUALA SELANGOR – KEJAM!!! Seorang anak sanggup memenggal kepala ibunya sendiri hingga maut di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Sabtu baru-baru ini.
Suspek yang berusia 28 tahun itu dikatakan membunuh mangsa yang berusia 56 tahun ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitar kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 5.45 petang hari Sabtu.
Menurutnya, polis turut menemui parang yang disyaki digunakan untuk memenggal kepala mangsa dalam tandas rumah tersebut.
Tambah beliau, kejadian disedari oleh salah seorang daripada anak mangsa yang pergi ke kediaman berkenaan selepas beberapa kali gagal menghubungi mangsa.

“Sebaik tiba di rumah itu, anak mangsa nampak ruang tamu rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut terus melarikan diri di ke arah belukar di belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini (Ahad).
Menurut Ramli, suspek merupakan seorang penganggur yang menetap bersama ibu dan bapanya, manakala anak-anak mangsa yang lain menyewa di kawasan berhampiran.
“Laporan awal ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine…
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan membunuh dan mahkamah Majistret Kuala Selangor membenarkan reman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan,” katanya lagi.





