KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan Parti Warisan sebagai parti yang sentiasa pantas untuk mengambil kredit atas kejayaan kerajaan hari ini.
Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut berkata, parti Warisan kini mengambil peluang untuk bermegah selepas Jabatan Imigresen Sabah memperakui dan menyatakan komitmen untuk mengatasi kelemahan imigresen di Labuan – Menumbok dan Jesselton Point.
Kelemahan itu terbongkar selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menzahirkan kebimbangan terhadap kelonggaran undang-undang imigresen antara Labuan dan dua pintu masuk ke Sabah itu.
“Beliau yang juga Presiden PBS, menyatakan kebimbangan terdapat individu yang menyalahgunakan laluan tersebut untuk bebas memasuki Sabah tanpa dokumentasi atau rekod yang sah…
“Hanya dalam tempoh sebulan, Kerajaan Sabah memperakui masalah itu, dan diikuti tindakan segera oleh Jabatan Imigresen,” katanya.
Christoper turut mempersoalkan mengapa baru kini isu itu dibangkitkan terutamanya mengenai eksploitasi warga Pakistan.
“Warisan pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Pakatan Harapan dan Darell memegang jawatan dalam Kabinet selama dua tahun pada masa itu…
“Yang menjadi persoalan, mengapa Warisan tidak bertindak untuk menyelesaikan kelemahan tersebut sewaktu mereka masih berkuasa?”..
Soalnya membalas kepada kenyataan Pegawai Khas Timbalan Presiden Parti Warisan Datuk Darell Leiking, Christopher Masudal baru-baru ini.
Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tun Richard Malanjum, telah menjadi ahli aktif Warisan selepas persaraan beliau dan bertindak sebagai ketua penasihat undang-undang parti.
“Ini juga menimbulkan keraguan…mengapa tiada tindakan diambil ke atas PATI (pendatang tanpa izin) Pakistan yang bekerja di Sabah walaupun mereka mempunyai segala bukti pelanggaran undang-undang imigresen Sabah?..
“Adakah kerana mereka tidak mempunyai kemahuan politik atau mereka sememangnya tidak berminat untuk mencari penyelesaian kepada masalah itu? Mungkin mereka hanya membangkitkan isu itu untuk meraih sokongan politik semata-mata,” tegasnya.





