TAWAU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyeru golongan petani khususnya peneroka agar tidak bergantung kepada satu jenis tanaman sahaja.
Katanya usaha demikian sebagai langkah persediaan sekiranya berdepan dengan kejatuhan harga produk satu-satu jenis tanaman.
“Kita sedia maklum harga buah sawit mengikut harga pasaran. Ada ketikanya harga buah sawit akan menjunam jatuh yang memberikan kesan kepada peneroka…
“Justeru dengan adanya tanaman lain, ianya boleh mengimbangi pendapatan seharian,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Dewan Masyarat Kampung Rancangan Apas Proper Batu 22 Balung Tawau dekat sini baru-baru ini.
Sempena perasmian tersebut, penduduk kampung bersetuju menamakan dewan tersebut sebagai Dewan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata jika penduduk mempunyai tanah sendiri maka perlunya mereka ada ‘mix farming’ (pertanian pelbagai) bagi mengurangkan risiko kerugian apabila harga tanaman tertentu jatuh.
“Banyak tanaman lain boleh kita usahakan antaranya durian musang king, nenas, avocado, sayur-sayuran dan lain-lain dimana ianya mempunyai nilai permintaan baik dan mampu menjana ekonomi kita,” katanya.
Selain itu, Bung turut memperingatkan golongan petani agar tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja warga asing dan memupuk sikap disiplin yang tinggi dalam mengusahakan sektor itu.

Di majlis yang sama Bung yang juga Ketua UMNO Sabah turut menerima borang kemasukan ahli Umno dari beberapa kumpulan dan individu setempat di kawasan tersebut.
Ketika mengalu-alukan kemasukan mereka, Bung berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin mendapat tempat di hati rakyat berdasarkan komitmen parti untuk membantu dari dulu sehingga sekarang.
“Rakyat sudah tentu bijak menilai apa yang telah dilakukan oleh BN ketika menerjui negara selain kestabilan politik teratur dan keadaan ekonomi negara juga terurus,” katanya lagi.
Menurut beliau penerimaan semula rakyat terhadap perjuangan BN dan UMNO semakin pulih dibuktikan pada Pilihan Raya Kecil dan Negeri sejak kebelakangan ini.
“Bagi mereka yang ingin kembali ke pangkuan UMNO dan BN, kita mengamalkan sikap pintu terbuka asalkan mereka ikhlas dalam perjuangan,” jelasnya.





