BEAUFORT, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam menyantuni para kakitangan dan ‘rider’ persendirian, Food Panda dan juga Grab di kawasan Beaufort di majllis santai mesra yang diadakan di perkarangan pejabat ADUN Lumadan, Bandar Mingo, di sini, pada Rabu.
Ruslan berkata, majlis ini diadakan untuk menghargai dan melihat keperluan para rider yang berperanan sebagai pemudahcara kepada rakyat selama negara dalam kemelut pandemik COVID-19.
“Pada masa negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita melihat bagaimana jasa dan pengorbanan para rider ini.
“Merekalah yang membantu isi rumah menghantar makanan yang ditempah dari mana-mana premis kedai makanan,” kata Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn. Bhd.
Ia juga dapat mengurangkan kesesakan dan tidak perlu untuk pembeli makanan berada di premis makan untuk mendapatkan makanan, tambahnya.
Selain itu, dengan wujudnya perkhidmatan rider ini, para belia dan beliawanis turut dapat menjana pendapatan dan berdikari.
“Saya menasihatkan kepada mereka untuk menjaga diri dan memberikan perkhidmatan terbaik”, ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar para rider menubuhkan persatuan untuk tujuan menjaga kebajikan mereka.
Ruslan juga menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai RM50, baucer servis motorsikal berjumlah RM30, barangan seperti tuala, pensanitasi tangan, pelitup muka dan juga makanan ringan kepada semua 60 orang rider yang hadir.





