KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang berusia berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak sebelum 1 Mac 2022 bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata jika gagal berbuat demikian, status mereka akan dianggap tidak lengkap vaksinasi dan maklumat itu akan tertera di dalam aplikasi MySejahtera.
Katanya, ia membabitkan semua penerima vaksin warga emas tanpa mengira jenis vaksin pertama dan kedua, penerima vaksin Sinovac dewasa.
“Sekiranya tidak, sijil digital itu akan tukar warna kepada putih, maksudnya status vaksinasi penuh tidak lagi diberikan dan sekatan akan dibuat di pintu masuk tertentu…
“Saya setuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa ada keengganan penerima Sinovac contohnya untuk terima dos penggalak Pfizer.
“Saya nak umumkan ada 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac belum terima dos penggalak lagi. (Jumlah) ramai ini dan mereka terdedah kepada gelombang Omicron sebab keberkesanan Sinovac tidaklah setinggi Pfizer, walaupun berkesan, tidaklah sebaik dan efektif Pfizer.
“Sebab itu saya sudah buat keputusan bahawa, kita lebih menggalakkan mereka menerima Pfizer dan Astra Zeneca, tetapi apa juga penggalak lebih baik daripada tidak ada langsung. Sebab itu kita akan berikan temujanji untuk mereka pilih sekiranya mereka mahukan Sinovac bagi dos penggalak mereka,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan kes harian COVID-19 di negara ini terus merekodkan trend peningkatan apabila mencatatkan sebanyak 11,034 kes hari ini berbanding 10,089 semalam sekali gus menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 2,925,254.





