LABUAN – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) sedia bekerjasama dalam membangunkan industri pelancongan diantara Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata demikian dalam satu kunjungan hormat dengan Perbadanan Labuan semalam.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato Sri Amir Hussien, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Rithuan Bin Mohd Ismail, serta wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Dalam ucapan, beliau turut menyarankan agar beberapa program dapat dilakukan bersama pada masa akan datang termasuk mempromosikan National Geopark Labuan dan National Geopark Kinabalu serta pulau pulau yang terdapat di kedua dua tempat.
Selain itu, usaha juga perlu dilakukan bagi mengetengahkan warisan sejarah Sabah dan Labuan antaranya Perkuburan Perang Labuan, Kundasang War Memorial.
Dalam pada itu, kementerian juga mempunyai perancangan untuk mempromosi pelancongan menerusi platform sukan atau riadah termasuk aktiviti berbasikal, golf dan pertandingan memancing antarabangsa Sabah-Labuan.
“Saya yakin dan percaya dengan usaha berterusan diantara kedua-dua pihak pastinya mampu melonjakkan semula industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Untuk rekod, Lembaga Pelancongan Sabah dan Labuan juga akan berkolaborasi dengan Tourism Malaysia untuk membuat promosi di Johor pada 22 sehingga 25 Februari depan.





