KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berharap akan pulih dari serangan sakit jantung yang dialaminya baru-baru ini.
Dalam satu kongsian video pada laman media sosial Facebook beliau petang tadi, Ahli Parlimen Langkawi itu mengakui tahap penyakitnya amat teruk.
“Adakalanya saya tak berharap nak pulih, tetapi Alhamdulillah, dengan rawatan yang diberi di IJN (Institut Jantung Negara), saya pulih…
“Saya ucap terima kasih kerana ramai yang berdoa untuk saya pulih dan hasilnya ialah saya telah pulih daripada satu penyakit yang bagi saya amat teruk,” katanya.
Dalam video berdurasi seminit itu, beliau memberitahu bahawa kehidupannya sedang berjalan seperti biasa.
“Hari ini saya sudah boleh berjalan, makan, tidur, duduk dan melakukan perkara yang hampir sama sebelum ini.
“Tapi tidaklah begitu kuat nak buat kerja apa semua. Saya harap saya akan pulih,” katanya.
Isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut kelihatan mengiring beliau bersiar di Tasik Putrajaya dalam video tersebut.
Dr Mahathir Mohamad dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) pada 5 Februari lalu dan kini sedang menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.





