SANDAKAN, SABAH – Seorang warga emas maut dipercayai akibat terjun dari tingkat 13 bangunan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di sini pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah, DSP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, mangsa 68 tahun ditemui orang awam pada kira-kira jam 11.20 pagi.
Dalam sebuah kenyataan, beliau berkata beberapa saksi kejadian yang berada pada tingkat 3 parkir bangunan tersebut telah menghubungi pihak polis.
“Mangsa dipercayai terjun dari tingkat 13 bagunan berdasarkan peninggalan selipar dan tongkat yang ditemui pada tingkat berkenaan…
“Siasatan juga mendapati kali terakhir mangsa dilihat pada jam 6.30 pagi ketika keluar dari tandas awam berhampiran bangunan MPS,” katanya.
Abdul Fuad berkata siasatan lanjut tidak menemui sebarang elemen jenayah namun siasatan masih diteruskan.
“Mayat telah dibawa ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk bedah siasat,” tambahnya.





