KOTA KINABALU, SABAH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menyarankan supaya Kerajaan Negeri Sabah dapat mengikuti tindakan yang telah dilaksanakan di Sarawak.
Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata BERSATU memberikan penghormatan tertinggi kepada Kerajaan Negeri Sarawak kerana berjaya meluluskan pertukaran terma ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ baru-baru ini di DUN Sarawak.
“Langkah ini sekaligus meletakkan negeri Sarawak bukan lagi setakat ‘equal partners’ dengan negeri-negeri lain di Malaysia…
Secara jelas ini menunjukkan yang status negeri Sarawak menuju ke arah otonomi yang lebih nyata.
“Tindakan sebegini dapat merealisasikan harapan bekas pemimpin-pemimpin utama negeri kita seperti Allahyarham Tun Mustapha dan Allahyarham Tun Fuad Stephen sewaktu penubuhan Negara Malaysia,” kata Khairul dalam sebuah kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesepakatan pemimpin-pemimpin Sabah harus di tonjolkan dalam isu-isu yang melibatkan hak-hak rakyat Sabah.
“Kesepakatan yang kuat pastinya boleh menghalang segala anasir luar yang cuba untuk mengugat kestabilan politik negeri kita…
“Kemunduran yang berlaku di Negeri Sabah disebabkan permainan politik yang terlampau dari sejak kita mencapai kemerdekaan, harus dihentikan dan fokus utama adalah untuk memajukan Negeri Sabah dan rakyatnya.
“Dengan meletakkan negeri Sabah sebagai status yang berlainan dengan negeri-negeri yang lain, pastinya generasi baru akan lebih memahami apakah pembentukan negara Malaysia sebenarnya,” ujarnya.
Beliau menambah Negeri Sabah dan Sarawak adalah tunjang utama pembentukan Negara Malaysia dan pastinya dalam masa-masa yang mendatang mampu menjadi pelopor penyumbang utama ekonomi negara Malaysia.





