KESEJAHTERAAN DEMOKRATIK MASYARAKAT NAMA PARTI BAHARU PETER

KESEJAHTERAAN DEMOKRATIK MASYARAKAT NAMA PARTI BAHARU PETER

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sangsi kejayaan pembentukan parti berbilang kaum baharu Datuk Peter Anthony terjawab dengan pengumuman nama Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) hari ini.

Bekas Naib Presiden Parti Warisan itu berkata Parti KDM telah diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada Jumaat (18 Feb).

Beliau berkata selain keahlian parti yang terhad kepada pengundi Sabah sahaja, hasrat KDM kekal untuk bersekutu bersama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, permohonan penyertaan akan diajukan kepada GRS sebaik mesyuarat pertama KDM diadakan pada 13 Mac bulan hadapan.

“Sekiranya semua parti politik (Sabah) bersatu dalam usaha memajukan negeri saya ingat ini adalah satu jalan untuk menyelesaikan banyak masalah pembangunan yang sepatutnya boleh dikecapi…

“Lebih baik memfokuskan kepada masalah di Sabah berbanding hal luar. Saya percaya kita seharusnya mencontohi gabungan kerajaan kukuh yang ada pada Sarawak dan Pulau Pinang,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu ditemui wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang tadi.

Turut mengiiringi ialah ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, yang keluar dari Parti Warisan bersama Peter pada Disember tahun lalu. Juil kini menjawat Timbalan Presiden KDM secara pro tem.

Tambah Peter, sesebuah parti yang menghadapi perbalahan dalaman tidak membawa manfaat kepada mana-mana pihak.

“Parti ‘kerdil’ ini pun ingin menyumbangkan sesuatu kepada kerajaan negeri Sabah dengan input luar dan akar umbi masyarakat,” katanya.