KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah hari ini mengadakan Lawatan Kerja Ke Negeri Sabah dengan menghadiri Majlis Perjumpaan KPPA Bersama Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Persekutuan Sabah.
Ini merupakan lawatan kerja rasmi sulung Dato’ Sri ke Sabah sebagai KPPA selepas dilantik pada 10 Februari lepas.
Menurut Mohd Shafiq, warga perkhidmatan awam perlu mengguna pakai konsep social capital bagi memperkukuhkan kerjasama antara organisasi. Jelasnya, semua penjawat awam wajar menghayati konsep collaborative mindset yang menekankan kepentingan bekerjasama melalui penjanaan idea dan pelaksanaan tanggung jawab secara bersepadu dan menyingkirkan silos.
“Saya berharap kita sama-sama dapat merealisasikan perkhidmatan awam sebagai sebuah organisasi yang dinamik serta bersifat pemudah cara dan mengurangkan birokrasi serta rigidity. Saya juga ingin mengajak kesemua penjawat awam Negeri Sabah untuk terus komited menyumbang idea dan tenaga bagi memastikan pembangunan Negeri pada tahap yang terbaik,” katanya.
Terdahulu, Mohd Shafiq telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin. Selain itu, beliau turut mengadakan kunjungan hormat bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Pertemuan ini dilihat dapat meningkatkan lagi jalinan kerjasama serta dapat memperkukuhkan hubungan antara perkhidmatan awam persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Dato’ Sarul Bahiyah Haji Abu; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed.





