ETAWAH, INDIA – Pengantin perempuan enggan berkahwin dengan bakal suaminya pada hari perkahwinan selepas mendapati bakal suaminya itu botak dan dipercayai memakai rambut palsu.
Ekoran daripada perkara itu, pengantin lelaki Ajay Kumar yang berasa sangat malu telah pulang semula ke rumah keluarganya tanpa berkahwin.
Memetik Gulf News, ketika upacara pertukaran kalungan bunga dijalankan, pengantin perempuan mendapati Ajay berhati-hati dan berulang kali membetulkan penutup kepala tradisionalnya.
Sumber memaklumkan seseorang dikatakan telah memberitahu pengantin perempuan bahawa pengantin lelaki sebenarnya botak dan memakai rambut palsu di kepalanya.
Sebaik sahaja mendengarnya pengantin perempuan terus pengsan dan jatuh di pentas.
Selepas dia sedar semula, wanita itu enggan mengahwini pengantin lelaki walaupun telah berulang kali dipujuk oleh keluarganya dan tetap tekad untuk tidak mengubah keputusannya.





