KENINGAU, SABAH – Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan bahawa ia menghormati Sabah sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia dengan mengambil tindakan lebih tegas dalam mempertahankan kedaulatan maritim wilayah itu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata ini selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
“Kerajaan persekutuan perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap sebarang ancaman luar bagi memastikan kedaulatan maritim negara, khususnya Sabah terus dipertahankan.
“Sabah secara langsung terdedah kepada konflik berterusan yang berpunca daripada banyak tuntutan kedaulatan yang bertindih ke atas pulau, terumbu dan batu yang ada di Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata beliau sentiasa mengikuti perkembangan tuntutan konflik di Laut China Selatan dari semasa ke semasa.
“Saya mendapati ancaman terhadap kedaulatan maritim Sabah membimbangkan sejak akhir-akhir ini memandangkan ia berada di barisan hadapan dalam isu tuntutan bertindih.
“Ini memerlukan campur tangan yang lebih serius daripada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pertahanan dan agensi berkaitan,” katanya.
Pencerobohan yang melibatkan aset tentera China di Laut China Selatan bukanlah perkara baharu.
Sepanjang 2021, Tentera Laut Diraja Malaysia telah melaporkan 23 kes di Zon Ekonomi Eksklusif (EZZ) negara. Kejadian ini nampaknya bermula pada tahun 2013.
Kitingan juga menekankan bahawa ancaman terhadap kedaulatan maritim negara telah menjejaskan ekonomi.
Sejak tahun lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim China dilaporkan telah menceroboh Kawasari, sebuah medan gas di luar pantai Sarawak, dan menjejaskan kerja-kerja yang melibatkan pembangunan operasi minyak dan gas baharu negara oleh Petronas.
Ugutan berterusan oleh 300 kapal maritim China yang berpangkal di Laut China Selatan turut menjejaskan aktiviti menangkap ikan nelayan kecil di Sabah.





