TAWAU, SABAH – Seramai lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang menyusup masuk ke Sabah secara haram melalui perairan Tawau dekat Kampung Titingan, sini, ditahan petang semalam.
Hasil tinjauan dan intipan yang dilaksanakan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF) dibawah pemerintahan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (KATB 2) mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 4.15 petang.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata sebuah kenderaan jenis teksi dipercayai turut terlibat dalam kegiatan pencerobohan PATI tersebut.
“Apabila kelihatan membawa kesemua PATI tersebut keluar dari kawasan pendaratan, Tim QRF telah bertindak mengekori teksi berkenaan sehingga ia bertindak menurunkan kesemua PATI di Jalan Chen Fook dan melarikan diri setelah menyedari telah diekori…
“Tim QRF telah bertindak menahan kesemua individu tersebut bagi melaksanakan pemeriksaan awal dokumen.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI memiliki dokumen pengenalan diri warganegara Indonesia iaitu passport dan permit kerja yang sah, tetapi tiada cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah dan cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau,” katanya.
Mereka terdiri daripada enam (6) lelaki dewasa berusia antara 22 hingga 40 tahun, seorang wanita dewasa berusia 39 tahun dan seorang bayi perempuan berusia dua tahun serta tiada penemuan barang-barang terlarang.
Menurutnya, kesemua PATI memaklumkan bahawa mereka berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia dan masuk ke Sabah bertujuan kembali ke tempat kerja setelah bercuti melawat keluarga di Indonesia.
“Kejayaan ini membuktikan ATB 2 melalui kawalan yang lebih kukuh dipersempadanan negara dengan analisa terperinci terhadap modus operandi ancaman semasa mampu menumpaskan jenayah rentas sempadan ini.
“Tim QRF telah melaporkan kejadian tersebut kepada Pegawai Bertugas Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan telah diarahkan untuk membawa kesemua PATI tersebut ke Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membuat laporan polis sekitar jam 7 petang…
“Kesemua PATI beserta barangan persendirian telah diserahkan kepada IPD Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut,” tambahnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.





