KUANTAN, PAHANG – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata jumlah sebenar rakyat Malaysia yang terpedaya dengan sindiket penipuan berkemungkinan tidak sebesar sebagaimana yang didakwa Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA iaitu lebih 1,000 orang.
Katanya, Wisma Putra sedang meneliti dakwaan berhubung kemungkinan lebih 1,000 rakyat terpedaya dengan sindiket penipuan dan telah diseludup ke luar negara.
Namun, beliau tidak menafikan kes rakyat Malaysia yang menjadi mangsa ‘scammer’ terutama melibatkan tawaran kerja di luar negara, terutama di Kemboja.
“Selain di Kemboja, ada juga kes berlaku di Australia namun ia agak berbeza.
“Dalam kes di Australia, kebanyakan rakyat kita yang di tahan pihak berkuasa negara itu kerana masuk untuk bekerja menggunakan visa pelancong dan tinggal lebih masa…
“Selain itu ada yang telah memohon suaka politik namun kedatangan mereka ke negara itu tidak dimaklumkan atau di luar pengetahuan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perasmian Kursus Asas Bahasa Isyarat Unit Orang Kurang Upaya (OKU) Parlimen Indera Mahkota dan Sumbangan Kepada Jemaah Haji di sini pada Ahad.
Saifuddin berkata, ada sesetengah kes, rakyat negara ini yang keluar ke sesebuah negara telah pergi ke negara lain menyebabkan mereka tidak dapat dikesan bila ada aduan tentang kehilangan individu tersebut.





