SHAREDA Puji Kerajaan GRS-BN Wujudkan Zon Perdagangan Bebas POIC

SHAREDA Puji Kerajaan GRS-BN Wujudkan Zon Perdagangan Bebas POIC

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) memuji langkah kerajaan negeri dalam mewujudkan zon perdagangan bebas di Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah pantai timur Sabah.

Presiden SHAREDA, Datuk Sr Chua Soon Ping berkata, langkah itu tepat pada masanya dan strategik untuk menggalakkan perdagangan di rantau ini.

Beliau berkata ini akan memanfaatkan peluang untuk Sabah dengan pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara, Borneo.

“Memandangkan ibu kota Indonesia tidak lama lagi adalah Nusantara, di Borneo, perdagangan di wilayah ini berpotensi bergerak ke zon ekonomi yang aktif…

“Indonesia mempunyai populasi 300 juta dan Nusantara akan menjadi ibu negara Indonesia yang lebih besar.

“Ia terletak bebas di luar ‘lingkaran api’ dan dengan begitu banyak rizab mineral mentah seperti tembaga, emas, nikel, arang batu, kayu, minyak sawit dan lain-lain.

“Nusantara boleh menjadi bandar Dubai seterusnya yang pertumbuhannya telah menjana banyak limpahan ekonomi dan ‘spin-off’ untuk Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.

“Qatar juga akan menjadi tuan rumah Piala Dunia seterusnya pada Disember 2022…

“Seperti pertumbuhan Dubai untuk Timur Tengah, Nusantara adalah untuk Timur Jauh, pemacu ekonomi utama di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Chua berkata Sabah akan mendapat manfaat daripada kesan mendalam pemindahan ibu kota Indonesia ke Borneo, bersama Sarawak dan Brunei.

“POIC di Lahad Datu yang mempunyai pelabuhan laut dalam akan menjadi kemudahan strategik dan menyediakan peluang terbuka untuk pemindahan penghantaran ke Kalimantan Timur dan seterusnya.

“Kerajaan persekutuan harus memperuntukkan dana untuk mempercepatkan kemudahan tersebut supaya negara dapat mendahului orang lain.

“POIC dan kerajaan negeri harus memanfaatkan peluang keemasan ini untuk langkah sedemikian,” katanya.