TENOM, SABAH – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka, Tuaran berjaya merangkul gelaran juara Program Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) Peringkat Negeri Sabah selepas menewaskan 82 buah sekolah yang telah menyertai program ini di peringkat daerah pada 27 Ogos lalu.
Sebanyak 18 buah sekolah yang merupakan Johan dan Naib Johan peringkat daerah berentap di peringkat Negeri Sabah yang telah diadakan pada 24 September 2022 (Sabtu) bertempat di Taman Pertanian Lagud Seberang Tenom.
Program ini merupakan program yang berbentuk cabaran interaktif atau ‘explorace’ menguji kecekapan, pengetahuan dan amalan kepenggunaan merangkumi aspek pengguna bijak, pengurusan kewangan berhemat, pemakanan sihat, pemeliharaan alam sekitar dan kerjasama berpasukan.
Dalam pada itu, SMK Sri Nangka akan mewakili Negeri Sabah ke peringkat kebangsaan yang dijangka akan diadakan pada 17 hingga 19 Oktober 2022 di Negeri Terengganu…
SMK Sri Nangka, Tuaran diwakili oleh pelajar Amier Aidiel bin Arjali, Mohd Helmi bin Fazil, Nur Anisya Najwa binti Razuan dan Putri Nurrahmadina binti Abidin beserta Guru Pengiring mereka Puan Norazlinda binti Abu Bakar berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000.00 beserta trofi dan sijil.
Manakala Naib Johan Program CIP KPS Peringkat Negeri Sabah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu dengan hadiah wang tunai sebanyak RM700.00, trofi dan sijil. Tempat ketiga diduduki oleh Sekolah Menengah (SM) Sains Lahad Datu dengan hadiah wang tunai sebanyak RM500.00, trofi dan sijil.
Georgie Abas, Pengarah KPDNHEP NEGERI Sabah dalam ucapan perasmian Majlis Penutupan beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan CIP KPS ini adalah bagi mendidik, menyebar luas dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan di kalangan pelajar melalui pendekatan baharu yang bersepadu dan mengembangkan daya kreativiti, inovasi dan potensi diri pelajar khususnya dalam aspek-aspek berkaitan kepenggunaan.
“Pendidikan perihal hak-hak pengguna serta kepenggunaan ini wajar diterapkan kepada golongan muda bermula daripada peringkat persekolahan lagi bagi memberi pendedahan awal tentang kepenggunaan di dalam usaha melahirkan generasi pengguna yang cakna akan hak masing-masing di dalam transaksi jual beli, cakna akan undang-undang berkaitan perniagaan dan tahu saluran yang betul sekiranya ingin membuat aduan pengguna.
“Generasi baru ini perlu dilatih untuk lebih berani di dalam mempertahankan hak-hak pengguna…
“Mereka juga harus sedar bahawa suatu hari nanti, merekalah generasi yang mempunyai kuasa membeli dan mampu mempengaruhi permintaan serta penawaran sesuatu barangan atau perkhidmatan.
Turut hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Program Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022 adalah Sudirman bin Sinti, Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Encik Awang Azri bin Biahi, Ketua Cawangan KPDNHEP Daerah Keningau.





