Kapal Penumpang Karam, Kanak-Kanak Lelaki Maut

Kapal Penumpang Karam, Kanak-Kanak Lelaki Maut

0
SHARE

KOTA BELUD, SABAH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun daripada sepuluh penumpang bot dinaiki yang karam di muara sungai Nanamun berhampiran Kampung Rampayan Laut di sini, ditemukan lemas semalam.

Mayat kanak-kanak lelaki, Muhammad Hayrul Sufyan Fian, 1, ditemui penduduk kampung sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 2.22 petang kelmarin.

Katanya, seramai tiga anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) bergegas ke lokasi kejadian dengan satu kenderaan utiliti pacuan empat roda jenis Toyota Vigo, bot penyelamat dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung”…

“Penduduk kampung kemudiannya memaklumkan pihak berkuasa berhubung penemuan mangsa tidak jauh dari lokasi bot dipercayai karam,” katanya dihubungi.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, semua penumpang bot terdiri empat lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan tiga kanak-kanak dikatakan dalam perjalanan dari Pulau Mantanani menuju Kampung Rampayan Laut.

Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, bot tiba-tiba karam dan menyebabkan seorang mangsa hilang sebelum ditemukan lemas.