KOTA KINABALU, SABAH – Peruntukan RM6.3 bilion ke atas Sabah dalam pembantangan Belanjawan 2023 hanya sekadar menjadi petunjuk di atas kertas jika amalan berokerasi Putrajaya terus berulang.
Sambil menyambut baik budget tersebut, Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berpandangan, jika Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) saban tahun menyalurkan peruntukan pada penghujung tahun sudah tentu ia tidak sempat dibelanjakan.
“Saya mengambil contoh, tahun lalu di mana Sabah hanya sempat membelanjakan 38 peratus daripada RM5.1 bilion yang diperuntukan dan sebahagian besar RM5 bilion terpaksa dibawa ke hadapan.
“Peruntukan tahun 2023 berjumlah RM6.3 bilion cuma di atas kertas dan dikitar semula daripada peruntukan tidak terpakai tahun ini,” katanya…
Masiung diminta memberi ulasan berhubung Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Jafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat lalu.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) bertaraf menteri itu bimbang peruntukan pembangunan Sabah tahun hadapan juga akan dikitar semula pada 2024 dan begitulah seterusnya kerana Putrajaya tidak mendengar pendangan Sabah.
Masiung berkata, seperti tahun-tahun sebelumnya MOF menyalurkan peruntukan kepada Sabah antara bulan September dan Oktober, ini sudah tentu dalam masa singkat kementerian atau jabatan di Sabah tidak sempat menyediakan perincian dokumentasi tender.
Pengerusi Penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kinabatangan itu berkata, proses perlantikan konsultan dan reka bentuk projek akan mengambil masa antara tiga hingga lima bulan.
“Jika Putrajaya benar-benar ikhlas membangunkan Sabah, MOF hendaklah menyelurkan peruntukan seawal bulan Februari atau Mac supaya penyediaan dokumentasi projek dapat disiapkan dan seterusnya proses pelaksanaan,” tambah beliau.
Menurut beliau, proses reka bentuk pembangunan terutama jalan raya akan mengambil masa kerana keluasan saiz muka bumi Sabah tidak boleh disamakan dengan negeri-negeri kecil di semenanjung.
Masiung berharap dengan konsep aspirasi Keluarga Malaysia, Putrajaya akan mendengar pandangan pemimpin Sabah.