Pesara Guru Tadika Besarkan Anak Angkat Islam, Terima Anugerah Maulidur Rasul

Pesara Guru Tadika Besarkan Anak Angkat Islam, Terima Anugerah Maulidur Rasul

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Pesara guru, iaitu Chee Hoi Lan yang membesarkan anak angkat beragama Islam telah diberi Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/2022 Masihi dan juga gelaran Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia.

Walaupun berlainan agama, Chee, 83, yang juga seorang pesara guru tadika telah membesarkan Rohana Abdullah, 20, sejak usia dua bulan hingga sekarang mendapat perhatian masyarakat dan kerajaan.

Anugerah itu dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/2022 Masihi di Pusat Dagangan Dunia di sini semalam.

 “Saya sangat gembira (menerima anugerah itu).” kata Chee ketika ditemui pemberita…

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul tahun ini.

Syed Zainal Abidin, 59, berkata pengurniaan anugerah itu memberikan semangat untuk beliau menjalankan tugas seharian yang mencabar.

“Saya memang suka mengamalkan korporat dakwah dan dengan adanya anugerah ini saya serta rakan-rakan korporat lain akan menggunakan platform sedia ada untuk berbuat baik dalam syarikat dan komuniti sekeliling,” kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Lima lagi penerima Anugerah Maulidur Rasul adalah Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya Datuk Dr Azizan Baharudin, Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) TV3 dan TV9 Ahmad Noor Sulaiman dan Pengerusi Yayasan ZIKAY Mohd Khay Ibrahim.

Penerima lain adalah aktivis kemanusiaan dan penceramah motivasi Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina serta kaunselor berdaftar Hushim Salleh.