PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan menegaskan negeri Sabah tidak akan diserahkan kepada Filipina disamping akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris telah diserahkan oleh Penimbang Tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari lepas yang bertujuan untuk mengisytiharkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu dengan tuntutan berjumlah USD14.92 bilion.
“Apabila saya menyatakan bahawa pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tersebut merupakan ‘tuntutan peribadi’, ia merujuk kepada tuntutan yang yang dibuat oleh individu persendirian (pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu) dan bukan tuntutan oleh Kerajaan Filipina…
“Selanjutnya, apabila saya menyatakan bahawa tuntutan Sulu dan pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan, kenyataan tersebut adalah merujuk kepada konteks kedaulatan wilayah sama ada wujud kemungkinan Sabah diserahkan kepada Filipina,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini sebagai maklum balas soalan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berhubung isu pertikaian timbang tara antara pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu serta
Kerajaan Malaysia 6 Oktober lepas.
Dalam pada itu, beliau turut berkata tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu terbabit merupakan suatu provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta
kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Pada masa ini, pihak berkenaan sedang menggunakan proses timbang-tara yang merupakan mekanisme undang-undang antarabangsa persendirian untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara…
“Proses tersebut bukan sahaja disalahguna tetapi ia juga suatu bentuk provokasi ke atas kedaulatan dan kepentingan Malaysia,” katanya.





