MEMBAKUT, SABAH – Pertukaran status daerah kecil Membakut kepada status daerah penuh telah diluluskan oleh kerajaan negeri.
Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata pihaknya sedang menunggu pewartaan berhubung perkara terbabit setelah diluluskan pada awal tahun ini.
Disamping itu, beliau juga memaklumkan proses pembahagian dan persempadanan kawasan di Parlimen Kimanis juga sedang berjalan.
Mengulas lanjut, Mohd Arifin berkata pihaknya juga telah merancangan pelbagai projek pembangunan setelah daerah Membakut memperoleh status daerah penuh.
“Bila sudah ada (status) daerah penuh, kita boleh dapat pejabat pendidikan daerah dan majlis daerah sendiri. Kemudian kita juga akan memohon hospital sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Membakut bertempat di Kampung Pimping, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd Arifin turut berkata projek pembinaan kolej tahfiz dibawah Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bernilai RM20 juta yang bakal dibina di sini juga telah diluluskan.
“Sudah lulus (projek pembinaan koleh tahfiz) dan kini tinggal kita buat pecah tanah. Insya Allah prosesnya mula awal tahun depan,” katanya.
Semalam, Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor ketika berucap mengumumkan pihaknya menyokong dan meluluskan untuk menjadikan Membakut sebagai daerah penuh.





