KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri menjelaskan salah faham pihaknya tidak lagi menuntut hak 40 peratus hasil bersih yang diperoleh kerajaan persekutuan daripada Sabah.
Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pihaknya bertegas untuk terus menuntut hak terbabit.
“Saya telah menyuara dan menegaskan pendirian kerajaan negeri di dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 untuk terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963…
“Kerajaan negeri akan pastikan bahawa keperluan dan kepentingan kita akan sentiasa diutamakan dan diperjuangkan.
“Saya berharap perkara ini tidak lagi diputarbelitkan kerana ianya boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat…
“Sama-samalah kita berganding bahu dan bekerjasama untuk menuntut hak rakyat Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut berkata sejak tahun 1969 selama 53 tahun, kerajaan negeri menerima amaun pemberian khas yang statik tanpa sebarang peningkatan iaitu RM26.7 juta setahun.
“Namun, di bawah pimpinan kerajaan negeri, susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang telah diadakan, akhirnya, pada bulan April yang lalu, kita telah berjaya mencapaikata sepakat yang mana bayaran pemberian khas ditingkatkan.
“Saya amat sedar dan tahu bahawa peningkatan pembayaran kepada RM125.6 juta yang telah kita terima pada tahun ini jauh lebih rendah berbanding apa yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
“Justeru, ingin saya tekankan bahawa peningkatan bayaran tersebut diterima tanpa prejudis atas dasar bahawa ia adalah pengaturan secara interim…
“Kita menegaskan hak-hak kerajaan negeri untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan serta mendapatkan sebarang bayaran tunggakan ke atas ketiadaan semakan semula pemberian khas semenjak tahun 1973.





