DUN Sabah Luluskan Belanjawan RM5.138 Bilion

DUN Sabah Luluskan Belanjawan RM5.138 Bilion

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2023) 2022 atau Belanjawan Negeri 2023 berjumlah RM5.138 bilion, hari ini.

Selain itu, DUN Sabah juga telah meluluskan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2022 dan Enakmen Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2022.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Rang Undang-Undang Enakmen Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2022 adalah bertujuan untuk menubuhkan satu Kumpulan Wang Amanah yang diberi nama Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Badan Profesional Perakaunan Negeri Sabah.

“Tujuan penubuhan Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Badan Profesional Perakaunan Negeri Sabah adalah untuk menampung pembiayaan Pendidikan Badan Professional Perakaunan untuk Skim Perkhidmatan W yang berkelayakan…

“Bermula 1 Januari 2022 melalui Pekeliling Perkhidmatan Negeri Sabah Bil.13/2021 kerajaan negeri menghendaki Pegawai Pengurusan dan Profesional Skim Perkhidmatan W memiliki keahlian professional kedua bagi membolehkan kenaikan pangkat ke gred WA48 dan ke atas tanpa kekosongan.

“Kehendak untuk memiliki keahlian professional kedua adalah selaras dengan halatuju perakaunan Kerajaan negeri ke arah pelaksanaan perakaunan akruan. Di samping itu, ianya akan memperkukuh dan memperkasa pegawai perkhidmatan.

“Selaras dengan keperluan itu, kerajaan negeri akan menubuhkan Kumpulan Wang Amanah bagi membiayai Pendidikan Badan Professional Perakaunan tersebut sebanyak RM3,775,000 (tertakluk kepada kos semasa) akan dicarum ke dalam Kumpulan Wang Amanah ini bagi tempoh lima tahun iaitu sebanyak RM775,000 setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Sementara itu, Hajiji yang juga merupakan Menteri Kewangan menjelaskan penubuhan Kumpulan Wang Amanah tersebut adalah penting bagi membiayai akauntan yang berkelayakan untuk memiliki keahlian profesional kedua.

“Ianya bukan sahaja dapat memastikan penajaan akan berjalan lancar dan berpanjangan, malah akan menyokong perkembangan kerjaya akauntan dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun turut membentangkan pindaan Enakmen Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2022.

Menurutnya, RUU tersebut bertujuan untuk meminda Enakmen pada Fasal I mengandungi tajuk ringkas dan tarikh mula berkuat kuasa; Fasal 4 bertujuan untuk memperkenalkan Bahagian IIIA baharu yang mengandungi seksyen baharu 14A, 14B, 14C, 14D, 14E dan 14F untuk mengadakan peruntukan bagi pengubahsuaian tambahan kepada Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1978.