SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya melaksanakan dua tangkapan membabitkan aktiviti mengebom ikan serta cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubdisidi di perairan Semporna pada 11.00 pagi Khamis.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kedua-dua tangkapan dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur.
“Sebuah bot pam berwarna biru dan kelabu tanpa nombor pendaftaran dikesan bot peronda bergerak dalam keadaan mencurigakan di kedudukan sekitar 0.1 Batu Nautika Utara Kampung Gelam-Gelam.
“Semasa dihampiri, tekong bot telah bertindak terjun serta melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran,” katanya.
Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui beberapa peralatan mengebom ikan.
Pada masa yang sama, sebuah bot bewarna hijau tanpa nombor pendaftaran yang melalui kawasan berhampiran lokasi kejadian dengan tiba- tiba bertindak terjun meninggalkan bot yang dinaiki.
“Faktor muka bumi serta perairan yang cetek menyukarkan usaha mengesan serta menahan suspek.
“Curiga dengan tindakan yang dilakukan suspek, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan dilaksanakan.
Bahan peledak serta bom ikan yang dirampas…
“Hasil pemeriksaan menemui beberapa bungkusan berisi minyak masak paket bersubsidi sebanyak 400 kilogram dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” beliau berkata dalam satu kenyataan.
Kedua- dua bot tersebut seterusnya ditunda dan diiring ke Jeti Maritim Semporna untuk siasatan lanjut manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM23 ribu.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan bahan letupan untuk menangkap ikan serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini.
“Aktiviti pengeboman ikan merupakan satu kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985. Aktiviti tersebut bukan sekadar merosakkan ekosistem di laut malahan ia juga akan menjejaskan industri pelancongan di perairan Semporna.
“Impak letupan boleh mendatangkan kecederaan, kehilangan nyawa serta ancaman-ancaman bahaya yang lain terutamanya kepada para penyelam rekreasi di kawasan berdekatan.
“Rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar kawasan pelancongan serta sempadan perairan negara akan terus dilaksanakan bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah dilaut,”tegasnya.