Kes Demam Denggi Meningkat 8.9 Peratus

Kes Demam Denggi Meningkat 8.9 Peratus

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

PUTRAJAYA – Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-47 telah meningkat sebanyak 8.9 peratus iaitu 1,734 kes berbanding 1,593 pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu terbabit.

Menurutnya, kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga kini meningkat 139.1 peratus iaitu 56,304 kes berbanding 23,547 bagi tempoh sama tahun lalu, dengan 37 kematian akibat komplikasi denggi berbanding 18 kematian bagi tempoh sama pada 2021.

“Sebanyak 54 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 61 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 25 lokaliti hotspot di Selangor, 19 di Sabah, tujuh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua di Perak dan satu di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah…

Dalam pada itu, beliau turut berkata survelan chikungunya merekodkan 18 kes pada ME ke-47 dengan 11 kes dari Pulau Pinang, Selangor (empat) dan masing-masing satu kes dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Melaka.

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 710 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 1,939 sampel darah dan 17 sampel urin dijalankan saringan zika dan hasil semuanya adalah negatif,” katanya.

Noor Hisham dalam kenyataan terbabit juga menyatakan taman rekreasi dan taman permainan masih berisiko menjadi tempat punca jangkitan demam denggi kerana mempunyai sampah serta bekas terbiar dibuang di persekitaran.

Katanya, amalan membuang bekas terpakai merata-rata termasuk di tanah lot kosong boleh mengancam kesihatan melalui jangkitan seperti demam denggi dan chikungunya serta mengganggu kelestarian alam sekitar.

“Individu yang beriadah di taman rekreasi perlu menggunakan perlindungan diri seperti memakai repelan pada kulit terutama pada waktu puncak gigitan nyamuk iaitu antara jam lima pagi hingga tujuh pagi dan lima petang hingga tujuh malam,” katanya.