KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu mengadakan sesi townhall bersama penduduk Kota Kinabalu bagi menjelaskan rasional mereka menutup sepenuhnya Taman Tun Fuad Stephens di Bukit Padang selama tempoh dua tahun bermula 10 Disember ini.
Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata kerja-kerja naik taraf memakan kos RM20 juta seperti yang diumumkan.
Katanya cadangan menaik taraf Taman Tun Fuad Stephens dibuat semasa pemerintahan Barisan Nasional sebelum 2018 tetapi kelulusan, pembiayaan dan pelantikan kontraktor hanya dibuat baru-baru ini oleh Kerajaan Persekutuan.
“Juga tiada bantahan oleh Kerajaan Sabah, sama ada oleh Warisan atau Gabungan Rakyat Sabah…
“Walaupun saya amat mengalu-alukan pembangunan semula taman awam ini kepada Taman Botani, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu mengadakan sesi townhall untuk menerangkan keseluruhan butiran projek kepada orang ramai.
“Orang ramai berhak untuk mengetahui bagaimana peruntukan persekutuan sebanyak RM20 juta dibelanjakan.
“Terdapat juga kebimbangan mengenai kesan alam sekitar berikutan pelaksanaan projek. Ini adalah kebimbangan sebenar semua orang.
“Saya turut berkongsi kekecewaan yang sama dengan penduduk tempatan, tentang keperluan penutupan penuh taman awam yang popular dengan trek joging dan tasik selama hampir dua tahun,” katanya.
Beliau mendakwa penduduk tempatan mempersoalkan mengapa tidak boleh ada penutupan separa mengikut peringkat kerja selain daripada penutupan terus
“Keluasan yang akan dinaik taraf ialah 44.13 ekar, dan ini adalah sekitar empat kali ganda jumlah keluasan tanah Sekolah Menengah Tshung Tsin seluas 9.26 ekar di Jalan Damai.
“Pastinya tidak ada keperluan untuk keseluruhan tanah seluas 44.13 ekar itu ditutup sepenuhnya untuk tempoh 2 tahun.
“Restoran dan penjaja akan dibenarkan untuk meneruskan perniagaan mereka seperti biasa dalam tempoh dua tahun ini.
“Walau bagaimanapun, dengan aktiviti berjoging dan riadah lain dilarang di kawasan itu, maka pada asasnya ia menggagalkan tujuan membenarkan aktiviti komersial sedemikian kerana tidak akan ada orang berada di sekeliling.
“DBKK dan pihak kontraktor patut tampil memberi penjelasan. Mereka tidak boleh mengharapkan aduan akan hilang tanpa memberikan sebarang butiran,” tambahnya.