Terajui Portfolio Berkait Hal Ehwal Sabah, Sarawak Tugas Mencabar

Terajui Portfolio Berkait Hal Ehwal Sabah, Sarawak Tugas Mencabar

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan menerajui portfolio berkaitan hal ehwal Sabah dan Sarawak merupakan satu tugas yang mencabar.

Dalam satu kenyataan media, Armizan berkata dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) mencabar kerana ia berkait dengan suara hati rakyat Sabah dan Sarawak selain merupakan pengalaman pertamanya menyertai kabinet

“Aspirasi Borneo yang mengharapkan kedua-dua wilayah ini diberikan perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya dalam agenda mengisi serta memperkukuhkan kelestarian Persekutuan Malaysia…

“Tanggungjawab ini menarik kerana amanah ini amat dekat dengan intipati perjuangan saya sejak sekian lama khususnya dalam arena politik. Antara agenda utama adalah untuk menyusul agenda yang berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Syukur saya bukan sahaja telah mendapat pendedahan dan terlibat dalam perihal tanggungjawab ini semasa berkhidmat di pejabat Ketua Menteri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor tetapi juga pengalaman bekerjasama dengan pasukan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) sebelum ini di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

“Saya yakin sedikit pengalaman ini akan dapat membantu pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.