PUTRAJAYA – Kejadian tanah runtuh bertempat di kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali, pagi tadi berlaku pada cerun buatan di kawasan bukit batuan granit.
Memetik sumber Berita Harian, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata ketika musim hujan, air permukaan yang banyak meresap ke dalam cerun sering menyebabkan kegagalan cerun.
“Berdasarkan maklumat sedia ada, banyak kejadian tanah runtuh berlaku di cerun tambakan sepanjang jalan raya di kawasan bukit atau pergunungan di Malaysia.
“Kebanyakan kejadian menyebabkan kerosakan jalan, ada yang terputus atau separuh runtuh. Lazimnya, tidak menyebabkan kematian kerana tiada penghuni di kaki tanah runtuh.
“Bencana kali ini amat malang kerana ‘kebetulan’ terdapat kawasan perkhemahan sekitar 100 meter di bawah tanah runtuh (30 meter di bawah paras jalan),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran yang dimuat naik dalam Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata semasa kejadian terbabit, difahamkan terdapat 94 orang yang sedang tidur di dalam khemah di kawasan itu.
Menurutnya, tanah runtuh diikuti dengan aliran tanah menyebabkan kawasan perkhemahan terbabit tertimbus dengan runtuhan tanah.
“Bencana ini berlaku pada cerun buatan (cerun tambakan, dan pembersihan ladang),” katanya.
Beliau turut menggesa supaya pihak berkuasa menyediakan garis panduan berkaitan pembangunan di kawasan rekreasi atau perkhemahan terutamanya di lereng bukit.
“Perlu ada garis panduan yang jelas disediakan untuk pembangunan bagi tapak perkhemahan ini atau pun tempat rekreasi lain yang boleh mengundang risiko sama,” katanya.
Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.24 pagi.
Katanya, metinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar tiga ekar (1.21 hektar).
Setakat jam 1 tengah hari tadi, seramai 16 mangsa disahkan maut dan operasi mencari mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan.





