SANDAKAN, SABAH – Sebanyak 105 buah rumah roboh dipukul ombak dalam fenomena air laut pasang di Kampung Forest dan Tinusa Dua jam 10 malam Sabtu.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan kira-kira 200 individu terjejas yang mana telah kembali ke rumah masing-masing selepas air surut.
Laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi Perkembangan Bencana Negeri Sabah berkata 162 mangsa terdiri daripada 29 keluarga berada di pusat pemindahan sementara Sk Sungai Anib 2.
Dalam pada itu, sumber sama melaporkan beberapa rumah telah roboh akibat fenomena sama hari pagi tadi di Pitas.
Katanya, seramai 721 mangsa atau 163 keluarga sedang ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk sebuah gereja.
“Anggota penyelamat telah melakukan pemantauan di kawasan terjejas. Operasi penyelamatan dan pemindahan mangsa di lapangan telah dilakukan segera manakala PPS dibuka serta merta.
“Tiada kemalangan jiwa atau orang hilang dilaporkan setakat ini. Penduduk kampung sempat menyelamatkan diri sebelum kejadian lebih buruk berlaku.
“Pemantauan masih dilakukan secara berterusan oleh pasukan penyelamat memandangkan air pasang besar akan berlaku pada malam ini.
“Penduduk yang masih berada di kediaman dinasihatkan agar berpindah ke PPS sekiranya keadaan membahayakan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.





