BERSATU DAKWA 4 KERUSI PARLIMEN DI SABAH KOSONG, CADANG PILIHANRAYA DIADAKAN

BERSATU DAKWA 4 KERUSI PARLIMEN DI SABAH KOSONG, CADANG PILIHANRAYA DIADAKAN

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – EMPAT (4) Ahli Dewan Rakyat yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 atas tiket BERSATU Sabah namun bertindak keluar parti telah diminta mengosongkan kerusi mereka.

Keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah Datuk Armizan Mohd. Ali (P.175 Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (P.185 Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (P.178 Ranau) dan Datuk Matbali bin Musah (P.179 Sipitang).

Armizan dan Khairul kini menjawat masing-masing sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee dalam satu kenyataan hari ini berkata arahan itu menurut Perkara 49(A)3 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya satu notis telah disampaikan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Ini supaya perkara ini dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan…

“Melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah kepada YB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Yassin, Presiden BERSATU telah mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU-15 sebagai anggota BERSATU. Keahlian mereka dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah sebagai anggota parti BERSATU.

“Kenyataan pengerusi GRS yang juga pengerusi BERSATU Sabah pada waktu tersebut iaitu Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor pada 2 November 2022 turut mengumumkan bahawa terdapat 6 calon daripada parti BERSATU akan mewakili GRS untuk bertanding dalam PRU-15. 

“Walau bagaimanapun, pada 10 Disember 2022 , Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan bahawa kesemua pemimpin parti BERSATU Sabah telah keluar dari parti BERSATU. 

“Pada sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022 yang lalu, keempat-empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah berada di blok kerajaan. 

“Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti BERSATU yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden BERSATU dan Dato’ Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘crossing the floor’ dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada para pengundi,” katanya.

Beliau berkata, akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti BERSATU telah gugur mengikut perlembagaan parti BERSATU dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat BERSATU bertarikh 21 Disember 2022.

“Justeru, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” jelasnya.