Tindakan Tegas Terhadap Jurulatih Lelaki Tampar Atlet Perempuan Harus Diambil

Tindakan Tegas Terhadap Jurulatih Lelaki Tampar Atlet Perempuan Harus Diambil

0
SHARE

BENTONG – Tindakan tegas harus diambil terhadap seorang jurulatih lelaki kerana menampar dua pemain perempuan bimbingannya, pada satu kejohanan bola tampar yang rakamannya tular dalam media sosial.

Memetik sumber Berita Harian, Timbalan Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY), Young Syefura Othman, menegaskan jurulatih terbabit tidak berhak untuk mengasari pemain terbabit yang juga remaja perempuan bawah umur.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perlakuan jurulatih itu yang dipercayai menampar pemain terbabit semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan.

“Saya memandang serius insiden seorang jurulatih lelaki dewasa skuad bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka yang menampar dua pemainnya berikutan prestasi tidak memuaskan pada satu kejohanan di Johor, Disember lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Young Syefura yang juga Ahli Parlimen Bentong menekankan, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu dihentikan segera daripada menjadi budaya dalam mana-mana cabang sukan.

“Kekerasan tidak menjamin prestasi cemerlang seseorang atlet, malah akan memberi tekanan yang akhirnya memberi impak kepada mental pemain terbabit.

“Sukan adalah bidang yang sihat. Kita tidak boleh membiarkan budaya begini menular dalam bidang sukan,” katanya.

Katanya, jurulatih berkenaan sepatutnya menerima sebarang keputusan dengan terbuka, dan menjadikan ia panduan untuk melatih serta mengenal pasti kelemahan pasukan.

“Jika seorang jurulatih tidak boleh mengawal emosi dan tidak boleh menjadi profesional terhadap anak didiknya, beliau tidak layak untuk menjadi jurulatih,” katanya.

Dalam pada itu, Young Syefura turut berterima kasih atas keprihatinan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang segera menghubungi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung perkara berkenaan.

Terdahulu, satu rakaman video memaparkan tindakan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar dua pemainnya, tular dalam media sosial.

Kejadian dipercayai berlaku ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B-14 (Bawah 14 Tahun) 2022 kategori perempuan pada 16 Disember lalu.

Dalam video disiarkan secara penstriman langsung menerusi Facebook itu, jurulatih pasukan Melaka dilihat menampar dua pemainnya ketika perlawanan menentang Johor.

Susulan itu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dilaporkan mengambil tindakan tegas menggantung sementara jurulatih terbabit.

MAVA dalam satu kenyataan, semalam, berkata pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi menyiasat insiden itu dengan segera.