Kemelut, Suasana Politik Di Sabah Kekal Tenang Kata PM Anwar

Kemelut, Suasana Politik Di Sabah Kekal Tenang Kata PM Anwar

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemelut dan suasana politik yang didakwa sedang hangat di Sabah kekal tenang.

Memetik sumber Harian Metro, beliau turut menegaskan tiada perubahan kerajaan yang berlaku di negeri terbabit.

Menurutnya, beliau juga telah menghubungi pimpinan Sabah termasuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Mengenai Sabah, saya sudah hubungi semua, Hajiji, Shafie, Bung Moktar. Saya juga berbincang dengan (Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi), (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke dan nampaknya, ia berada dalam keadaan tenang, sementara ini.

“Saya tidak fikir apa-apa perkembangan (perubahan kerajaan negeri),” katanya.

Walau bagaimanapun, Anwar turut menasihatkan pihak berkenaan agar berbincang dengan baik sekiranya terdapat isu tertentu.

“Saya cuma dimaklumkan beberapa isu dan saya minta Ketua Menteri (Hajiji) berbincang dengan baik bersama rakan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan cubaan menggulingkan Hajiji gagal dan ‘Langkah Kinabalu’ itu dikatakan mempunyai kaitan dengan gerakan daripada WARISAN dan BN.