Cabaran Aset Usang Bukan Penghalang Panglima Tentera Laut

Cabaran Aset Usang Bukan Penghalang Panglima Tentera Laut

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan isteri, Puan Sri Dato’ Indera Maslina Ismail telah diraikan dalam Program Penghargaan Panglima Tentera Laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Teluk Sepangar, di sini.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 sehingga 12 Januari lalu adalah berkesinambungan daripada program persaraan beliau.

Pelbagai program pengisian seperti Majlis Makan Malam Beradat, Perbarisan Penghargaan, Majlis Ramah Mesra, Fleet Review serta Street Lining melibatkan seluruh warga The Navy People di sini telah terlaksana dengan jayanya.

Panglima Tentera Laut ke-17 telah menerajui perkhidmatan sejak 30 November 2018 yang lalu dan telah berkhidmat selama 42 tahun di dalam TLDM.

Walaupun berhadapan cabaran aset usang ketika beliau menyandang jawatan tertinggi TLDM, beliau tidak pernah mengambil enteng sebaliknya lebih proaktif dalam memainkan peranan menentukan program pembangunan semula Armada TLDM iaitu Pelan Transformasi 15to5 kekal di landasan dan diteruskan.

Slogan “We exist because of the Fleet” (kita wujud kerana armada) sentiasa menjadi pegangan beliau dalam memacu TLDM untuk menjadi sebuah angkatan laut yang kredibel dan versatil dalam memelihara kepentingan maritim negara.

Sepanjang berkhidmat sebagai Panglima Tentera Laut, beliau sentiasa menitikberatkan keperluan serta perancangan rapi bagi meningkatkan kesiagaan aset ketenteraan dan infrastruktur termasuk di Armada Timur.

Ini dapat dibuktikan dengan kejayaan perolehan Kapal Misi Pesisir (LMS) ‘Batch’ Pertama, pemerkasaan fungsi Unmanned Aerial System (UAS), perolehan Helikopter Operasi Maritim (HOM) serta pewujudan unit Skuadron 503 dan Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) yang signifikan dalam pengawasan maritim di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut memainkan peranan dalam pembangunan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak dan memantau proses naik taraf infrastruktur Markas Wilayah Laut 2, Sandakan termasuk jeti operasi markas tersebut.

Walaupun bakal menyerahkan legasi kepada pucuk pimpinan terbaharu, Panglima Tentera Laut tegas dengan pendirian bahawa Kerajaan Malaysia perlu memberi perhatian serius terhadap pemerkasaan keupayaan TLDM.

Selain perlu memastikan projek Kapal Kombat Pesisir (LCS) berjaya, perolehan Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch Kedua juga perlu dititikberatkan.

Demi kejayaan program ini, ianya penting bagi bajet Angkatan Tentera Malaysia dipertingkat kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara berperingkat.

Laksamana Tan Sri Mohd Reza turut menyampaikan amanat kepada warga The Navy People agar sentiasa menyemat cogan kata TLDM iaitu “Sedia Berkorban” serta beriltizam memberi sepenuh taat setia kepada Raja dan Negara serta dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Beliau turut mengingatkan konsep syura, ukhuwah dan disiplin yang tinggi pasti menjamin kejayaan sesebuah organisasi. Panglima Tentera Laut mengakhiri lawatan beliau di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dengan lambaian penghormatan terakhir daripada The Navy People melalui Street Lining sebelum meneruskan program pengunduran beliau di Sandakan dan Tawau.

Beliau dijadualkan untuk menyerah tugas secara rasmi 27 Januari ini di Kuala Lumpur.