NEW DELHI, INDIA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran berjaga-jaga terhadap penggunaan dua ubat batuk jenis sirap keluaran India yang dikaitkan sebagai punca kematian sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak di Uzbekistan.
WHO dalam satu kenyataan yang dipetik AFP berkata, produk yang dikeluarkan oleh syarikat farmaseutikal India, Marion Biotech adalah ‘substandard’ iaitu lebih rendah daripada standard ditetapkan dan firma itu gagal memberikan jaminan mengenai ‘keselamatan dan kualitinya’.
Amaran yang dikeluarkan sejak semalam itu dibuat selepas pihak berkuasa Uzbekistan berkata, pada bulan lalu sekurang-kurangnya 20 orang kanak-kanak maut selepas mengambil ubat batuk jenis sirap yang dikeluarkan oleh syarikat itu, menggunakan jenama Doc-1 Max.
Kementerian Kesihatan India kemudiannya menggantung pengeluaran syarikat itu, manakala Uzbekistan mengharamkan import dan penjualan Doc-1 Max.
Amaran WHO itu memaklumkan, analisis sampel sirap oleh makmal kawalan kualiti Uzbekistan mendapati “jumlah dietilena glikol atau etilena glikol yang terkandung di dalam ubat tidak boleh diterima dan mencemari bahan lain”.

Kedua-dua bahan itu adalah toksik kepada manusia apabila dimakan dan boleh membawa maut.
“Kedua-dua produk ini mungkin mempunyai kebenaran untuk dipasarkan di negara lain di rantau ini. Ia juga mungkin telah diedarkan, melalui pasaran tidak formal, ke negara atau wilayah lain,” kata kenyataan itu.
Beliau juga berkata, produk berkenaan tidak selamat dan penggunaannya terutama pada kanak-kanak, boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian.
Ia adalah siasatan kedua membabitkan syarikat pengeluar ubat-ubatan di India. Oktober lalu, WHO mengaitkan ubat keluaran firma lain dengan siri kematian kanak-kanak di Gambia.