Ramasamy Sifatkan Ahmad Zahid Sebagai Beban Dalam UMNO

Ramasamy Sifatkan Ahmad Zahid Sebagai Beban Dalam UMNO

0
SHARE

PETALING JAYA – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy, menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi duri dalam daging kepada UMNO dan Kerajaan Perpaduan selagi beliau kekal sebagai presiden parti itu.

Memetik sumber Free Malaysia Today, ia susulan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 semalam yang meluluskan usul untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden dalam pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei.

“Zahid mungkin tidak terjejas buat masa ini, tetapi dia seolah-olah menjadi ‘beban’ kepada Umno dan sedikit sebanyak kepada Pakatan Harapan (PH) atau kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi…

Dilaporkan, UMNO berbelah bahagi sama ada pertandingan untuk dua jawatan teratas perlu diadakan, dengan ada yang mengatakan ia berisiko memecahbelahkan parti dan yang lain berkata bahawa ia akan membolehkan Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan membuktikan bahawa mereka mempunyai sokongan akar umbi.

Timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata UMNO tidak boleh diremajakan tanpa membersihkan imejnya yang “dicemari rasuah” terlebih dahulu, sambil menambah bahawa Zahid nampaknya “pemimpin paling tercemar”.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Perpaduan mungkin telah mengelak krisis politik serta-merta dengan keputusan Umno untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya.

“Sakit kepala Perdana Menteri Anwar Ibrahim mungkin hilang buat sementara waktu,” katanya.