KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah telah mengeluarkan 139 kes selepas menjalankan pemeriksaan terhadap sejumlah 8,112 premis di seluruh negeri ini pada bulan Januari dengan nilai kompaun dikenakan sebanyak RM20,700.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata tindakan tersebut diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDN terus komited melaksanakan pemeriksaan premis perniagaan dan tindakan mengawalselia bekalan dan harga barang kawalan termasuk keperluan asas di setiap peringkat rantaian bagi memastikan keberadaan bekalan barang terutamanya minyak masak, ayam dan telur ayam.
“Pemeriksaan juga dijalankan bertujuan untuk membanteras aktiviti menyorok barang kawalan bagi memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan supaya sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan pada setiap masa.
“Pemeriksaan keberadaan barang kawalan ayam, telur ayam, dan minyak masak telah dijalankan di premis-premis tumpuan pengguna di sekitar Kota Kinabalu mendapati bekalan ayam, telur, dan minyak masak ada di pasaran adalah mencukupi.
“Anggota penguatkuasa KPDN Sabah akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna adalah mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga berpatutan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Georgie menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.





