Masyarakat Perlu Ada Kefahaman Dan Kesedaran Tentang Bahaya Kanser – Jahid

Masyarakat Perlu Ada Kefahaman Dan Kesedaran Tentang Bahaya Kanser – Jahid

0
SHARE
Sempena Hari Ibu, Jahid dan Malianah mengabadikan gambar bersama golongan ibu dan peserta program berkenaan...

KOTA BELUD, SABAH – Masyarakat perlu mempunyai kefahaman dan kesedaran tentang bahaya penyakit kanser dan kongsikan pengetahuan mereka kepada orang lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata kesedaran komuniti adalah penting bagi mencegah dan mengesan kanser lebih awal, dan berkongsi informasi mengenai penyakit itu dengan masyarakat yang lain.

“Setiap orang perlu mendapat maklumat mengenai bahaya kanser, tidak mengira siapa pun kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Kanser anjuran Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Serbaguna Kampung Tegudon, dekat sini pada Ahad.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Demis Rumanti, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Ahli Panel Penasihat Wanita Sabah (PWS) dan Penceramah Tetap, Rizin Kusop.

Katanya, urusan-urusan untuk memberi kesedaran mengenai kanser adalah tanggungjawab bersama.

“Kerajaan sentiasa menyokong usaha pelbagai pihak yang tampil untuk memberi kesedaran mengenai penyakit kanser payudara,” kata Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli.

JAHID Menyapa para peserta program terdiri daripada wanita dan golongan ibu…

Selain itu, beliau turut menekankan betapa pentingnya saringan kanser awal yang mampu menyelamatkan nyawa kepada penghidap kanser.

“Perlu diingat bahawa kanser boleh dicegah dan dielak melalui amalan gaya hidup sihat selain dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan secara berkala,” tambahnya.

“Malah, sebahagian besar daripada kunjungan saya kepada mana-mana keluarga yang mempunyai ahli keluarga meninggal dunia adalah disebabkan penyakit kanser.”

Beliau berharap agar masyarakat tidak mengambil ringan mengenai penyakit kanser, sebaliknya memandang secara serius bahaya penyakit pembunuh senyap tersebut.

Menurut Jahid, yang juga Penasihat PSKS, program yang diadakan hari ini mampu mewujudkan kesedaran tentang penyakit kanser serta memberi pengetahuan mengenai gejala serta rawatan-rawatan yang boleh diberikan.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua kaum ibu yang merupakan majoriti peserta program berkenaan.

Terdahulu, Presiden Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS), Lawrence Imui, berkata, program tersebut sepatutnya diadakan pada April tetapi keadaan belum mengizinkan pada waktu itu disebabkan Pandemik COVID-19.

Lawrence memberitahu, program berkenaan bertujuan memberi pengetahuan kepada masyarakat mengenai penyakit kanser serta langkah-langkah pencegahannya.

“Kanser payudara berkait rapat dengan wanita malah, setiap tahun banyak kematian direkodkan akibat penyakit ini dan kami juga berharap kadar peratusan kesedaran mengenai penyakit ini semakin meningkat,” katanya.