Peratusan Demam Denggi Menurun 17.6 Peratus

Peratusan Demam Denggi Menurun 17.6 Peratus

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Jumlah kes demam denggi telah menurun pada Minggu Epidemiologi Keempat dengan 1,910 kes direkodkan, berbanding 2,319 kes minggu sebelumnya yang mencatatkan penurunan 409 kes atau 17.6 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya juga telah merekodkan satu kes kematian  pada minggu sama.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 8,968 kes berbanding 2,948 kes bagi tempoh sama tahun lalu, peningkatan 6,020 kes (204.2 peratus).

“Empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding tiada kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

“Sebanyak 79 lokaliti hotspot dilaporkan minggu ini berbanding 80 lokaliti hotspot minggu sebelumnya, dengan 51 lokaliti hotspot di Selangor, 14 lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, 12 di Sabah dan dua di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menyentuh perkembangan kes Chikungunya, Dr Noor Hisham berkata, survelan penyakit itu mendapati lima kes pada minggu keempat direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM), iaitu tiga kes dari Pulau Pinang dan masing-masing satu kes dari Kedah serta Selangor.

“Jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini adalah 52 kes.

“Bagi survelan Zika, sebanyak 169 sampel darah dan satu sampel urin dijalankan saringan Zika dan semuanya negatif,” katanya.