KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, keadaan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan meneruskan tugasnya hari ini.
Beliau yang dilaporkan tidak sihat, hari ini, berkata perkara itu disahkan doktor selepas beliau menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pagi tadi.
“Seusai pemeriksaan dan doktor mengesahkan kesihatan saya berada pada tahap yang baik, saya langsung menyambung tugasan bersama staf. Alhamdulillah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran yang dimuat naik laman media sosial Facebook rasmi, hari ini
Pagi tadi, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memaklumkan kepada pemberita, Perdana Menteri sepatutnya menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves, namun tidak dapat berbuat demikian kerana tidak sihat dan terpaksa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Menerusi muat naik berkenaan, Anwar turut berkongsi gambar perbincangan antara beliau dan tiga pegawainya di kediaman beliau di Kajang.
Mereka ialah Setiausaha Politik Kanan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Ketua Setiausaha Sulit, Shukri Saad.





