KOTA KINABALU, SABAH – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia telah membuat perolehan sebanyak 100 unit ambulans pacuan empat roda yang akan diserahkan secara berfasa di seluruh negara bermula tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata APM sedang menggerakkan usaha untuk meningkatkan keupayaan aset pertahanan awam untuk melonjakkan keberkesanan peranan sehingga ke peringkat daerah.
“Antara langkah yang dilaksanakan adalah perolehan kenderaan seperti ambulans pacuan empat roda yang dapat memudahkan pergerakan anggota penyelamat ke tempat bencana.
“Ini terutamanya untuk di kawasan struktur muka bumi dan fizikal jalan tidak sempurna seperti yang terdapat di kawasan pedalaman negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.
Disamping itu, beliau juga berkata bagi fasa pertama, sebanyak 30 unit ambulans pacuan empat roda akan diagihkan diseluruh negara.
“Untuk fasa pertama, sebanyak 30 unit akan diserahkan kepada APM negeri Sabah, Sarawak, Kedah, Perak, dan Pahang.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak lapan unit khusus untuk APM Sabah akan dibuat serahan selewat-lewatnya pada suku kedua tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Pingat APM Negeri Sabah bertrmpat di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.
Armizan dalam pada itu juga berkata bagi memperkasa peranan dan fungsi APM, agenda utama yang perlu diberikan perhatian adalah berhubung aspek latihan dan melengkapkan masyarakat dengan ilmu pertahanan awam.
Bagi tujuan tersebut, Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) telah diwujudkan dan orang awam yang menyertai ASPA akan diberikan latihan sehingga memperoleh sijil serta nombor keanggotaan.
“Latihan yang dianjurkan adalah menjurus kepada asas pertahanan awam termasuk kemahiran pengurusan bencana.
“Matlamat APM adalah untuk mencapai sasaran 10 peratus rakyat di Malaysia mempunyai ilmu asas pertahanan awam sebagaimana yang disarankan oleh International Civil Defence Organization (ICDO).
“Sehubungan itu, APM telah mempergiatkan pelbagai program dan aktiviti bagi menarik minta masyarakat untuk menyertai ASPA.
“Data sehingga bulan Januari 2023 menunjukkan bahawa jumlah ASPA yang telah mendapat latihan di seluruh negara adalah seramai 1,972,077 orang. Bagi negeri Sabah, jumlah anggota terlatih adalah seramai 196,651 orang,” katanya.





