PERKHIDMATAN AWAM PERLU GIGIH BANTU KERAJAAN MAJUKAN NEGERI, SEJAHTERAKAN RAKYAT: KM HAJIJI

PERKHIDMATAN AWAM PERLU GIGIH BANTU KERAJAAN MAJUKAN NEGERI, SEJAHTERAKAN RAKYAT: KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan digesa untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan Sabah dalam usaha memajukan negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kini merupakan waktu tepat untuk anggota perkhidmatan awam dan Persekutuan untuk bekerja lebih keras dalam membangunkan semula ekonomi negeri dan memajukan rakyat.

“Sekarang adalah waktu untuk bekerja. Waktu untuk menunaikan janji dan melaksanakan apa yang kita janjikan untuk rakyat.

“Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita seharusnya memberikan tumpuan
sepenuhnya terhadap segala usaha bagi membina semula ekonomi negeri dan
membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Menteri III, Datuk Shahelmy Yahya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin.

Disamping itu, Hajiji turut mengajak semua anggota perkhidmatan awam untuk melipat-gandakan lagi usaha serta khidmat bakti bagi memastikan negeri ditadbir dengan cemerlang manakala rakyat dibela sebaik-baiknya.

Katanya, sebagai jentera pelaksana dasar dan program pembangunan kerajaan,
anggota perkhidmatan awam menjadi pemangkin bagi merealisasikan segala dasar serta perancangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, dalam konteks negeri Sabah, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 merupakan wadah untuk menempatkan semula Sabah pada landasan yang tepat ke arah kemajuan.

Menurutnya lagi, pendekatan itu adalah selaras dan selari dengan aspirasi Perdana Menteri yang telah memperkenalkan gagasan besar Malaysia Madani.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Sabah adalah negeri terawal yang
menyambut baik konsep Malaysia Madani dengan menganjurkan seminar, forum dan
bengkel bagi mengupas dan mendalami konsep Malaysia Madani.

“Saya berharap agar seluruh anggota perkhidmatan awam sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk menghadapi perubahan dan cabaran, sesuai dengan perkembangan dan kehendak semasa.

“Jadilah penjawat awam yang berdaya kreatif, bersikap proaktif serta memiliki semangat untuk berlumba dalam mencapai kejayaan secara sihat, berintegriti dan menjauhi rasuah,” katanya.